Bergelut Cari Wang Biaya 21 Penghuni, Pengasas Al Haq Malaysia Tak Sangka Roti Berinti Laku Keras

Menghimpunkan 21 penghuni berusia satu bulan hingga 16 tahun, Pertubuhan Kebajikan dan Perlindungan Al Haq Malaysia yang diasaskan oleh Nur Fardilah Mohd Sabki tampil dengan cara tersendiri dalam meneruskan kelangsungan kewangan mereka.

Menurut wanita berusia 42 tahun itu, kelulusan dalam bidang seni kulinari membolehkan dia menjalankan perniagaan pelbagai jenis makanan untuk menyara anak-anak yang dinaunginya.

“Saya memang bekas pelajar seni kulinari. Bila buka rumah kebajikan ini pada tahun 2017, saya fikir bagaimana untuk sustain kewangan kami” ujarnya kepada mStar.

Menurut Fardilah, urusan penghasilan makanan dibantu bendahari dan pengurus rumah kebajikan itu, Azizan Ismail selain turut mendapat sentuhan anak-anak penghuni seandainya mereka berkelapangan.

Selain nasi lemak mereka yang cukup laris, Fardilah kini tampil dengan seleksi finger food yang kelihatan cukup menyelerakan. “Kami ada dapur sendiri, ada masakan barat, melayu, timur tengah, cina dan sebagainya. Kami buat breakfast box, lunch box dan nasi lemak.

Rumah ini khusus untuk anak-anak yang jadi mangsa dera, ada juga anak yatim. Sekarang ada 16 orang yang bersekolah. Apa yang mereka lalui, saya sudah lalui…pernah ditinggalkan keluarga, dipelihara oleh orang lain. Bila saya diambil oleh sebuah keluarga sebagai anak angkat, saya diberi kehidupan sama macam orang di luar sana.

“Niat saya tubuhkan rumah kebajikan ini untuk saya jaga mereka sebagaimana saya dijaga keluarga angkat. Kami terapkan konsep family home. Kerja ini banyak bermain dengan air mata. Dapat dengar cerita mereka. Ada budak ditinggalkan di hospital, didera….dulu tengok dalam drama je, tapi apa yang ada dalam drama tu memang betul. Ada yang dah pernah kena dera, kita kena fikir juga cara untuk pemulihan mereka, macam mana nak bina hidup baharu, ujar pengasas Al Haq Malaysia yang terletak di Kampung Datuk Keramat Kuala Lumpur ini.

Scroll to Top