Pengasas Kami

Pengasas Al Haq Malaysia

Nor Fardilah Mohd Sabki

Dibesarkan keluarga angkat dalam suasana kehidupan yang dilimpahi kasih sayang dan kesenangan tidak menjadikan beliau insan lupa diri. Sebaliknya, setiap kasih sayang dan kebaikan yang diterima daripada keluarga membuatkan beliau lebih sensitif melihat kesusahan dilalui orang kurang bernasib baik terutama kanak-kanak. Lantaran itu mendorongnya menubuhkan Pertubuhan Kebajikan dan Perlindungan Al-Haq di Bukit Keramat pada tahun 2017 yang dianggap sebagai transformasi dirinya.

Fardilah (kanan) bersama Azizan (kiri)
Azizan Ismail sebagai 
bendahari dan pengurus, membantu Fardilah dalam menguruskan rumah kebajikan ini


Mereka 'Nyawa' Saya

Rumah ini menempatkan penghuni yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk mangsa penderaan fizikal dan seksual yang berusia diantara tujuh bulan hingga 14 tahun.

Nor Fardilah Mohd Sabki, adalah wanita berhati mulia kerana menyayangi penghuni rumah ini tanpa batasan seperti anak kandung sendiri walaupun tidak mempunyai sebarang pertalian darah.

Lebih mengagumkan apabila beliau sanggup membanting tulang dan bersengkang mata setiap malam bagi menyiapkan tempahan katering dan biskut daripada pelanggan demi mendapatkan wang bagi menyara anak terbabit.

Hanya mereka yang memiliki kemurnian hati yang luar biasa saja dapat melakukan apa yang dibuat Nor Fardilah biarpun diri sendiri dihimpit masalah kesihatan akibat gelinciran cakera tulang belakang.

Usaha dan kerja keras yang dilakukannya semata-mata untuk memastikan anak itu mendapat kehidupan yang selesa dan pendidikan sempurna seperti beliau nikmati bersama keluarganya angkatnya dahulu.

Katanya, beliau bukan penjaga tetapi ibu kepada anak terbabit dan bertanggungjawab menyediakan semua keperluan mereka dengan selengkapnya.

“Di bawah pertubuhan ini ada ada menubuhkan Al-Haq Kitchen yang menjadi platform untuk menjana pendapatan bagi menampung sewa premis, perbelanjaan harian dan juga yuran persekolahan.

“Saya juga turut membuat kerja sampingan seperti memberi motivasi, untuk mendapatkan pendapatan tambahan bagi menampung kos operasi rumah ini yang mencecah RM15,000 sebulan,” katanya.

Jelasnya, pada waktu tertentu iaitu hujung minggu dan cuti persekolahan kanak-kanak itu akan membantu membuat biskut sebagai pendedahan kepada mereka mempelajari kemahiran itu.

“Dengan cara ini boleh memupuk minat mereka untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi ataupun sebagai pilihan kerjaya pada masa hadapan,” katanya.

Menurutnya, beliau berdikari mencari dana pertubuhan itu kerana mahu menangkis stigma masyarakat yang sering melabelkan rumah kebajikan hanya mengharapkan sumbangan orang ramai untuk beroperasi.

“Sebab itu saya menggunakan segala kemahiran yang ada dan kebetulan mempunyai kelulusan dalam bidang teknologi makanan untuk membangunkan rumah ini.

“Saya tidak kisah bekerja keras demi anak ini walaupun ada masalah kesihatan kerana ini adalah minat saya dan ini adalah perjuangan saya dalam dunia kebajikan yang lakukan sejak dulu lagi,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai faktor yang mendorong membuka pertubuhan berkenaan, Norfadilah berkata, beliau ingin memberi sesuatu tranfomasi kepada anak yang kurang benasib baik.

“Pengalaman ini saya lalui sepanjang 11 tahun melakukan kerja kebajikan secara bersendirian.

“Sudah tentunya saya sedih dan simpati melihat keadaan mereka kerana tanpa kasih sayang dan penjagaan yang sempurna oleh ibu bapa masing-masing,” katanya.

Katanya, beliau amat menitikberatkan hubungan kekeluargaan dan kasih sayang di rumah ini supaya mereka merasai kesempurnaan seperti kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa.

“Saya juga selalu berpesan yang mereka di sini adalah adik-beradik dan perlu saling menyayangi antara satu sama lain.

“Saya akui tugas ini agak mencabar kerana bukan mudah untuk ‘menyatukan’ mereka yang berasal daripada ibu bapa berbeza,”katanya.

Nor Fardilah berkata, semua kanak-kanak itu dihantar ke sekolah tahfiz swasta dan setiap mereka mempunyai kelebihan tersendiri seperti pandai melukis dan boleh mengimamkan solat fardu.

Dipanggil ibu oleh penghuni rumah terbabit, beliau berkata, tidak dinafikan ada segelintir masyarakat tidak bersetuju dengan caranya (beri telefon bimbit) tetapi beliau mempunyai pendekatan tersendiri bagi memastikan mereka tidak menyalahgunakan kemudahan diberikan.

Bagaimanapun, menurutnya, pendidikan tetap diberikan penekanan utama kerana mahu mereka berjaya dalam akademik yang diseimbangkan dengan agama bagi menjamin kehidupan lebih cemerlang pada masa hadapan.

“Kelihatan seolah-olah saya memanjakan mereka tetapi hakikatnya amat tegas dalam mendidik anak di sini.

“Saya turut menetapkan peraturan, mereka perlu menceritakan apa yang berlaku dan dilakukan sepanjang berada di sekolah sebaik saja tiba di rumah tanpa saya bertanya dan menjadi sahabat pendengar pada penceritaan setiap hari.

“Ini untuk melatih mereka supaya lebih terbuka berkongsi dan tidak menyembunyikan apa-apa rahsia,” kata wanita yang penyayang disebalik ketegasan.

Katanya, beliau tidak menyangka impiannya untuk membuka pertubuhan kebajikan menjadi kenyataan dan ia umpama pelaburan akhiratnya.

“Walaupun tidak mempunyai zuriat sendiri, apa yang pasti anak ini melengkapi kehidupan seharian saya.

“Mereka adalah ‘nyawa’ saya dan akan menjaga mereka sehingga akhir hayat.

“Sejak bersama mereka kehidupan saya berubah 180 darjah dan paling penting memperolehi ketenangan hidup yang sukar dijelaskan kerana setiap kebajikan yang dilakukan adalah satu kepuasan apabila mampu membuat insan lain tersenyum,” katanya. 

(Petikan daripada Harian Metro pada Ogos 15, 2018)

Scroll to Top